Firman Allah SWT :
Maksudnya:“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku”
(Az-Zariyat: 56)
Rasulullah SAW bersabda. ( Terjemahannya ):
“Seluruh muka bumi ini adalah masjid untukku; Suci dan bersih.”
Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu
macam sahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan
ibadatnya. Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan beraneka rupa sesuai
dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri.Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain.
Pintu untuk membuat ibadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.